Ma'rifatullah & Ma'rifatulrasul

Man Arafa Nafssahu Faqada Arafa Rabbahu

Apa Itu Tauhid?

Tauhid merupakan elemen asas yang tertinggi dalam Islam. Penentuan nilai-nilai murni berasaskan kerangka tauhid bermaksud pematuhan manusia terhadap ketentuan hukum yang ditentukan Allah bersifat mutlak dan kekal abadi serta beriman dengan sepenuh hati dalam aspek rububiyyah dan uluhiyyah.  Melalui konsep ini ia meletakkan pola hubungan asas yang kukuh bagaimana insan  berinteraksi dengan Allah S.W.T. Hasil daripada tindakbalas hubungan tersebut, objektif utama yang perlu dicapai oleh setiap muslim ialah mendapat keredhaan daripada Allah dan keberkatan di alam dunia dan akhirat. Oleh yang demikian, berdasarkan kepada kerangka tauhid ini maka terpancarlah sifat-sifat positif yang menjadi prinsip pegangan muslim seperti keadilan, kesamaan, amanah, redha meredhai, toleransi, kasih sayang, tekun, pengiktirafan hak masyarakat, penyelesaian secara konsensus, berilmu, sederhana, konsep pahala dan dosa perlu diaplikasikan oleh setiap individu muslim yang berjaya.

Umumnya, akidah diklasifikasikan kepada empat komponen penting yang merangkumi seperti berikut pertama fitrah, kedua akal, ketiga persoalan ghaib dan keempat syara`.  Apabila komponen-komponen ini dikombinasikan ia menjadi asas binaan akidah yang kukuh serta menjadi tunjang kepada sistem kepercayaa agama Islam. Keunikan dan keistimewaan keutuhan sistem ini dapat dilihat daripada kekuasaan dan kemegahan yang dimiliki oleh Yang Maha Berkuasa (Allah S.W.T.) yang mencipta dan menguruskan alam jagat ini tanpa sebarang cacat cela, mengurniakan segala nikmat yang tidak terhitung kepada manusia dan makhluk lain amnya, menghidupkan semula semula jasad dan jiwa yang telah hancur dengan kekuasaan yang dimiliki-Nya dan sebagainya. Atas keperluan tersebut jelaslah bahawa akidah merupakan faktor yang paling dominan sebagai prinsip asasi yang perlu dipegang oleh manusia. Kekuasaan Allah S.W.T yang menguasai alam raya ini dapat dilihat dalam firman-Nya dalam al-Quran:

Maksudnya: ”Sekiranya ada di langit dan di bumi tuhan-tuhan selain Allah, tentulah keduanya itu telah rosak binasa. Maka Maha Suci Allah yang mempunyai ‘Arsy daripada apa yang mereka sifatkan.”
(al-Anbiya’:22)

Al-Alusi  memperincikan maksud al-Quran tersebut dalam tafsirnya menyatakan bahawa mereka beriktikad mensucikan Allah daripada yang selainnya yang menyerupai tuhan-tuhan sepertimana yang disangka. Beliau mentafsirkan huruf  (?) sebagai tertib di antara yang sebelumnya dan selepasnya, untuk mensabitkan Wahdaniyah selain untuk menzahirkan sifat Jalalah pada tempat yang tersirat sebagai `illah hukum. Alasan yang dikemukakan sifat Uluhiyyah merangkumi semua sifat kesempurnaan (Kamaliah). Atas sifat kebesaran dan kemuliaan yang dimiliki oleh Allah S.W.T. dan nikmat yang dikurniakan-Nya maka manusia dapat mengatur dan menyusun kehidupan secara sistematik di alam ini mengikut Iradah dan Inayah yang telah ditentukan oleh Allah S.W.T.

Apabila sistem kepercayaan ini direalisasikan sepenuhnya oleh manusia maka terpancarlah ruh keimanan yang hakiki  berkembang subur dalam diri individu manusia dan secara instrinsiknya ia akan menjadi asas kepada pembentukan sebuah institusi masyarakat yang kuat. Untuk menggambarkan maksud komponen akidah tersebut, perinciannya boleh dilihat dalam jadual 3.4 seperti berikut:

Komponen Akidah

1.Fitrah

Manusia mengiktiraf dan menginsafi di bawah alam sedar tentang kekuasaan dan keagungan Allah yang mencipta dirinya dan setiap makhluk dan benda di alam ini. Secara tabienya, manusia mengharapkan bantuan Allah disebabkan oleh sifat kelemahan yang dimilikinya.

2.Akal

Islam mengiktiraf peranan akal. Orang beriman menggunakan akal untuk mentadabbur dan berfikir tentang kekuasaan Allah S.W.T.

3.Ghaib

Beriman dengannya merupakan sebahagian daripada unsur-unsur akidah seperti beriman tentang kewujudan Syurga, Neraka, hari pembalasan, Malaikat, Jin dan sebagainya yang tidak dapat ditanggapi oleh panca indera manusia.

Persoalan tentang perkara ghaib adalah diluar kotak pemikiran manusia. Semua petunjuk tentang perkara tersebut hanya disyaratkat melalui pedoman wahyu. Pemikiran manusia hanya terbatas kepada pandangan mata kasar sahaja.

Firman Allah S.W.T yang bermaksud “(iaitu) mereka yang beriman[1] kepada yang ghaib[2], yang mendirikan solat[3], dan menafkahkan sebahagian rezeki[4] yang kami anugerahkan kepada mereka. (al-Baqarah: 3)

[1]  Iman ialah kepercayaan yang teguh yang disertai dengan ketundukan dan penyerahan jiwa. tanda-tanda adanya iman ialah mengerjakan apa yang dikehendaki oleh iman itu.
[2]  yang ghaib ialah yang tak dapat ditangkap oleh pancaindera. percaya kepada yang ghaib yaitu, mengi’tikadkan adanya sesuatu yang maujud yang tidak dapat ditangkap oleh pancaindera, Kerana ada dalil yang menunjukkan kepada adanya, seperti: adanya Allah, malaikat-malaikat, hari akhirat dan sebagainya.
[3]  Sembahyang  menurut bahasa ‘Arab: doa. menurut istilah syara’ ialah ibadat yang sudah dikenal, yang dimulai dengan takbir dan disudahi dengan salam, yang dikerjakan untuk membuktikan pengabdian dan kerendahan diri kepada Allah. mendirikan solat ialah menunaikannya dengan teratur, dengan melangkapi syarat-syarat, rukun-rukun dan adab-adabnya, baik yang lahir ataupun yang batin, seperti khusu’, memperhatikan apa yang dibaca dan sebagainya.
[4]  Rezeki: segala yang dapat diambil manfaatnya. menafkahkan sebagian rezeki, ialah memberikan sebagian dari harta yang telah direzekikan oleh Tuhan kepada orang-orang yang disyari’atkan oleh agama memberinya, seperti orang-orang fakir, orang-orang miskin, kaum kerabat, anak-anak yatim dan lain-lain.

4. Syara`

Ia boleh diertikan sebagai kuantum nilai, prinsip, sistem syariat yang ditaja oleh Allah S.W.T melalui pengantaraan Nabi atau Rasul. Sistem inilah menjadi dasar kepada pembentukan agama.

Natijah daripada interaksi manusia dengan Allah akan memperlihatkan status dan kedudukan manusia berperanan dan memikul tanggungjawab sebagai hamba serta ditaklifkan dengan ketentuan hukum seperti yang telah termaktub dalam wahyu. Kehidupan manusia perlu dibimbing dengan panduan wahyu supaya setiap tindakannya sentiasa bertepatan dengan tuntutan keagamaan dan selari dengan fitrah kemanusiaan. Manusia yang terpinggir dengan pedoman wahyu seringkali melanggar arahan dan peraturan agama serta bertindak di luar norma kemanusiaan demi memenuhi cita-citanya atas desakan hawa nafsu. Sebaliknya, individu muslim yang beriman sentiasa bertindak berasaskan nilai-nilai mahmudah yang diutarakan oleh Islam dan sentiasa berhati-hati dalam tindak-tanduknya. Golongan manusia sedemikian bukan sahaja mempunyai personaliti dan akhlak terpuji sesama manusia dalam masa yang sama juga mereka juga memiliki adab yang baik dengan Allah S.W.T.

Sebagai individu mukmin yang baik, ia sentiasa mengutamakan nilai-nilai murni dalam kehidupan seperti berakhlak, bercakap benar, beramanah, akauntabiliti, mengutamakan pemuafakatan dan persefahaman, bertoleransi, menghormati hak orang lain dan sebagainya. Manusia yang bertaqwa kepada Allah S.W.T. sentiasa berhati-hati dan takut melakukan sesuatu perkara yang bertentangan dengan syara` sama ada secara terang-terangan atau di luar pandangan manusia. Ironinya, inilah keistimewaan dan keunikan sistem agama yang berteraskan order tauhid rabbani, sistem ini dihormati dan diiktiraf oleh manusia atas sifatnya yang sejagat dalam memelihara keharmonian dan ketenteraman manusia bukan sahaja di alam dunia bahkan berkesinambungan di alam akhirat.

Manifestasi ketaqwaan manusia kepada Allah dapat dilihat melalui tanda kesyukuran yang dizahirkan oleh manusia di atas nikmat yang dikecapinya. Setiap nikmat yang dianugerahkan oleh Allah kepada manusia atas sifat Rahman dan Rahim tidak dapat dihitung oleh manusia. Allah S.W.T. tidak melihat kekayaan, kemegahan, kehormatan, pangkat dan darjat dimiliki oleh manusia sebaliknya tahap ketaqwaan yang dimiliki oleh seseorang menjadi indikator kepada kejayaan seseorang. Ketaqwaan merupakan pencapaian berprestij yang menjadi idaman bagi setiap individu muslim. Tingkatan ketaqwaan seseorang itu akan menjadi petunjuk hirarki darjatnya di sisi Allah S.W.T. Firman Allah S.W.T :

Maksudnya:  Hai manusia, Sesungguhnya kami menciptakan kamu dari seorang laki-laki dan seorang perempuan dan menjadikan kamu berbangsa – bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling kenal-mengenal. Sesungguhnya orang yang paling mulia diantara kamu disisi Allah ialah orang yang paling taqwa diantara kamu. Sesungguhnya Allah Maha mengetahui lagi Maha Mengenal.
(al-Hujurat:13)

10 Februari 2010 - Posted by | Kajian Tauhid |

Belum ada komentar.

Tinggalkan Balasan

Isikan data di bawah atau klik salah satu ikon untuk log in:

Logo WordPress.com

You are commenting using your WordPress.com account. Logout / Ubah )

Gambar Twitter

You are commenting using your Twitter account. Logout / Ubah )

Foto Facebook

You are commenting using your Facebook account. Logout / Ubah )

Foto Google+

You are commenting using your Google+ account. Logout / Ubah )

Connecting to %s

%d blogger menyukai ini: